Saturday, January 29, 2011

Bukan Aku Tak Rindu

Selalu saja aku rindu kamu. Tapi aku tak luahkan. Sebab aku rasa kamu sudah bahagia di tempat masing-masing. Jadi biarlah aku berdiam agar aku tidak merosakkan kegembiraan kamu...

Aku mungkin juga bersuka ria. Tetapi aku tahu dan pasti keindahan rasa itu akan lebih mengasyikkan dengan hadirnya kamu. Dan bila aku bersedih, aku pasti kamulah antara insan pertama yang akan mengesat air mata ini. Kerana itulah aku menolak untuk menunjukkan kegelisahan hati. Kerana aku tidak betah menambah luka di jiwa. Kerana aku tahu tiada siapa yang dapat menghapuskan kemurungan aku seperti kamu semua mampu melakukannya. Kamu semua begitu dekat di hatiku. Aku tidak sanggup membiarkan sesiapa mengambil tempat itu. Kamu yang teristimewa.

kalau tiada kamu siapalah aku ini. Cuma sekadar insan di pinggiran yang melukut di tepian gantang mungkin. Sebelah mata pun tiada yang sudi memandang. Mujurlah ada kamu semua yang sanggup bersusah payah menghulurkan tangan agar aku dapat berjalan bersama dan tidak terus lemas sendirian dalam kesedihan yang dicipta sendiri.

Oh tuhan! Aku memang tidak mahu mencari ganti kamu. Kerana tempat kamu terlalu berbeza. Kamu aku tempatkan jauh di lubuk hati. Begitu dalam supaya kamu akan kekal selamanya. Semoga kasih tercipta membawa ke syurga. Aku sedih. Aku mahu kamu. Aku cari yang seakan-akanmu. Tetapi aku hanyut. Aku tak berdaya. Aku rindu saat-saat dahulu. Aku menginginkannya. Gelak tawa. Gaduh manja. Nasihat bersama.   Aku mahu kamu, cuma kamu. Aku serahkan jiwaku menyayangi kamu dan aku rasa sukar untuk aku menyerahkannya kepada yang lain. Kerana aku belum berjumpa yang seistimewa kamu. Sungguh, aku jujur melafazkannya...